Wednesday, November 11, 2009

Ladang rusa tarikan baru ke Sungai Lembing


SEBAHAGIAN daripada rusa ternak di Padang Ternak Rusa,
Sungai Jin, Sungai Lembing.



JIKA anda ingin melihat rusa dan habitat asalnya, berkunjunglah ke Pahang. Anda tidak perlu bersusah payah meredah hutan rimba, sebaliknya hanya menjejakkan kaki ke ladang rusa Sungai Jin, dekat Sungai Lembing.


Kini, ladang itu mempunyai kira-kira 70 ekor rusa dan uniknya ia adalah projek ternakan rusa di kawasan habitat semula jadinya yang pertama di negeri ini. Lebih istimewa lagi, buat masa ini ladang itu dibuka untuk pengunjung tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Ladang Rusa Sungai Jin yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pekan Sungai Lembing, sebenarnya dibangun serta diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Pahang.

Bagi kemudahan pelawat, pengurusan ladang terbabit menyediakan sebuah menara pandang jauh setinggi lapan meter untuk melihat lebih jelas lagi pergerakan rusa menggunakan teropong.

Ada sebuah pelantar rehat untuk kakitangan dan pelawat melihat panorama kawasan ladang dan persekitaran. Berhampiran pelantar rehat ini juga ada disediakan sebuah 'travis' (kandang) untuk dimasukkan rusa yang jinak sebagai tontonan atau untuk didekati pelawat.


SAMSUDIN dijamu daging rusa panggang ketika melawat
Ladang Ternakan Rusa, baru-baru ini.



Rumah gelap juga disediakan sebagai tempat rawatan kesihatan ternakan yang sakit atau tercedera. Pada waktu inilah bilangan populasi setiap kelompok ternakan rusa dihitung.

Rusa jantan tidak digunakan sebagai baka dan apabila mencapai tahap berat untuk disembelih, ia akan diasingkan.

Baru-baru ini, rombongan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri yang membuat lawatan ke situ, bukan saja peluang menyaksikan rusa menerusi teropong, malah menikmati keenakan rusa panggang dan sup rusa.

Ladang itu diwujudkan untuk tujuan pembiakan, pengamatan, penternakan dan sebagai destinasi agro-pelancongan dalam zon pelancongan Sungai Lembing-Gunung Tapis Park.

Ladang yang dibuka pada 1992 berkonsep 'serasi alam semula jadi' membabitkan kawasan seluas 120 hektar. Antara jenis rusa yang dipelihara ialah baka 'Cervus Timorensis' sejak 1997 yang berasal dari Mauritius dan Australia.

Daripada jumlah itu, kira-kira 102 hektar dibangun dan ditanam dengan 'pastura' (sejenis pokok teduhan), manakala bakinya dikekalkan dengan pokok hutan secara semula jadi dan berpagar.

Ia bertujuan mengekalkan habitat semula jadi dengan mengelak sebarang unsur gangguan luar pada tahap paling minimum.

MENARA Pandang untuk
pelawat memerhati rusa.


Di situ ada 14 pondok ragut disediakan bagi rusa yang diternak dengan kaedah `rotational grazing'.

Sebuah galeri rusa juga disediakan untuk menyimpan produk berasaskan haiwan ini serta yang berkaitan dengannya.

Pengarah JPH Pahang, Datuk Dr Mohd Azmi Zakaria, berkata pihaknya sedang berusaha menjadikan galeri itu antara terbaik di negara ini, terutama sebagai tempat pembelajaran dan rujukan berkaitan rusa kepada pelajar dan pengunjung.

"Jika berpeluang, pengunjung boleh melihat cara pengendalian rusa di rumah gelap yang akan menjadi satu pengalaman yang menakjubkan.

"Bagi kaki pancing pula, mereka boleh melepaskan gian untuk menangkap ikan di Hulu Sungai Jin yang kaya dengan sumber ikan kelah dan tengas.

"Sungai itu yang sesuai untuk kegiatan beriadah serta perkhemahan yang cuma terletak kira-kira 300 meter dari ladang rusa ini," katanya.

Kunjungan anda tidak lengkap jika hanya ke ladang rusa saja. Pelancong sebenarnya boleh mengunjungi beberapa lagi tempat menarik di Sungai Lembing seperti perkampungan Orang Asli di Sungai Mas; air terjun Pelangi, Gunung Tapis; Muzium Perlombongan Sungai Lembing yang menyimpan khazanah kegiatan perlombongan bijih timah terpanjang di dunia, selain menikmati pemandangan indah matahari terbit di Bukit Panorama.

Di sepanjang perjalanan ke kawasan air terjun Gunung Tapis, pelancong boleh melihat keunikan pokok paku gajah yang pastinya berbeza dengan tempat lain.

Dr Mohd Azmi juga berkata, pihaknya menyediakan dua kuarters untuk disewa bagi sesiapa yang ingin bermalam di ladang itu.

Bagaimana ke sana? Dari bandar Kuantan, pelancong boleh menggunakan kenderaan sendiri, bas atau teksi ke Pekan Sungai Lembing dan terus ke ladang itu, hanya lima kilometer saja.

Bagaimanapun, kenderaan pacuan empat roda paling sesuai digunakan berikutan keadaan jalan menuju ke ladang rusa ini agak beralun serta sedikit berbukit.


p/s nih berita lama.. sory bro/sis
aku tak tau nk letak apa info terbaru
kat sini.

1 comments:

ikan segar said...

Saya ingin mencari pembekal daging rusa segar terus dari ladang..boleh bantu saya...sila email ke ikansegarks@gmail.com